Hamil kaedah IVF

TUNKU Azizah bersama Dr Wong pada gimik pelancaran IVF Kos Ultra Rendah.

TUNKU Azizah bersama Dr Wong pada gimik pelancaran IVF Kos Ultra Rendah.

Bagi pasangan suami isteri yang baru berkahwin, pasti kehadiran cahaya mata dinanti bagi melengkapkan mahligai mereka, namun tidak semua pasangan diberi rezeki awal.

Ada yang menanti lebih 10 tahun untuk mendapatkan zuriat. Bagi yang berkemampuan, rawatan persenyawaan in vitro (IVF) menjadi pilihan.

Bagaimanapun, rawatan itu menelan kos yang agak tinggi terutama apabila ia perlu diulang jika rawatan pertama tidak berjaya. Bagi yang berpendapatan rendah, rawatan ini mungkin membebankan dan akhirnya terpaksa pasrah dengan takdir yang tertulis.

DR Wong (dua dari kanan) memberi penerangan kepada Tunku Azizah sambil diperhatikan Dr Norazlin (dua dari kiri).

DR Wong (dua dari kanan) memberi penerangan kepada Tunku Azizah sambil diperhatikan Dr Norazlin (dua dari kiri).

Justeru, program IVFKasih baru-baru, ini dilancarkan bagi membantu mengurangkan kos rawatan IVF dan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mendapat cahaya mata.

Pengasas dan Pengarah IVFKasih Dr Wong Pak Seng berkata, selain faktor kewangan, usaha untuk hamil turut memberi beban kepada emosi pasangan apatah lagi jika mereka daripada kelompok berpendapatan rendah.

Menurutnya, rawatan IVF kos rendah akan memberi kelegaan kepada kelompok berkenaan yang tidak mampu menyediakan berbelas ribu ringgit untuk sekali rawatan.

“Mereka kini boleh mula mendapatkan rawatan peringkat awal untuk hamil. Lebih cepat pasangan mendapatkan rawatan, peluang untuk mendapat anak lebih tinggi. Ini kerana faktor kesejahteraan emosi, umur dan gaya hidup memberi kesan besar kepada kesuburan seseorang wanita,” katanya.

TUNKU Azizah (kanan) beramah mesra bersama bayi IVF.

TUNKU Azizah (kanan) beramah mesra bersama bayi IVF.

IVFKasih ialah program kos ultra rendah IVF dengan pendekatan yang unik dan inovatif untuk mengurangkan kos perubatan dan mengekalkan kadar kejayaan tanpa menjejaskan kadar kehamilan setanding program IVF konvensional.

Pusat Rawatan Kesuburan Sunfert Sdn Bhd mengambil langkah memperkenalkan Program IVFKasih di klinik miliknya, Klinik Pakar Kesuburan Kasih di Shah Alam. Klinik yang dilengkapi perkhidmatan IVF ini terdiri daripada rangsangan, pemantauan, prosedur klinikal dan makmal, digabungkan dengan teknologi kesuburan maju.

Dr Wong berkata, IVFKasih ditubuhkan untuk memberi harapan kepada pasangan bagi mendapatkan zuriat dan rawatan kesuburan ini mungkin agak berlainan daripada kebiasaannya.

“Kami komited kepada satu kos saja, tanpa caj tersembunyi dan merangka program yang mudah dengan kos minimum. Ia menggunakan teknik rangsangan yang rendah apabila prosedur makmal tetap sama dengan IVF konvensional, tetapi dos ubat yang lebih rendah digunakan untuk merangsang pengeluaran jumlah telur seorang wanita.

“Tujuan utamanya untuk menghasilkan jumlah telur yang rendah, tetapi berkualiti di samping memelihara keadaan rahim daripada kitaran IVF biasa,” katanya.

IVFKasih tidak mengamalkan sebarang kriteria pengecualian dan semua warga layak tanpa mengira usia dan sebab bagi ketidakhamilan selagi mereka mempunyai rizab ovari yang baik.

Diketuai Pakar Obstetrik, Ginekologi dan Kesuburan Dr Norazlin Rosli, IVFKasih komited untuk merekodkan revolusi dunia IVF dengan membolehkan rawatan kesuburan pada harga yang berpatutan menggunakan teknologi inovatif dan canggih.

Terdahulu, program itu dilancarkan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Pengerusi Seumur Hidup Yayasan Fertiliti Tunku Azizah.

Menurut Tunku Azizah, wawasan IVFKasih untuk mendekati lebih banyak pasangan yang tidak mempunyai anak, membolehkan mereka dirawat pada usia lebih muda dengan segera dan tanpa bebanan caj mahal adalah usaha yang membanggakan.

“Saya sedar penderitaan yang dialami oleh pasangan sedemikian apatah lagi apabila kos untuk IVF konvensional menjadikan realiti menimang cahaya mata kelihatan mustahil.

“Program baru ini boleh membantu pasangan mengatasi tekanan besar dalam hidup, dengan menggabungkan teknologi perubatan canggih pada bayaran yang sangat berpatutan,” katanya.

Tunku Azizah turut menambah, kemurungan dan kerinduan tidak berkesudahan yang dilalui sesetengah pasangan yang tidak mempunyai anak, tidak dapat dibayangkan.

“Saya faham betapa peritnya keadaan itu kerana saya pun pernah berdepan situasi sebegini pada suatu masa dulu. Kini, dengan kemampuan IVF Kasih, ia memberikan satu harapan baru,” katanya.

Satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Dr Wong, beliau berharap lebih banyak pasangan yang sukar hamil memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan IVFKasih.

“Bagi seseorang untuk mencapai kehamilan, ia boleh menjadi suatu perjalanan yang penuh cabaran, sunyi dan kadang-kadang menyedihkan. Tugas kami di IVFKasih disokong oleh nilai asas dan positif, digalakkan dengan rasa empati dan hormat. Sepanjang masa, kami komited untuk mengurangkan tekanan yang tidak perlu dengan penjagaan, rawatan dan sokongan sebanyak mungkin,” katanya.

Pada caj RM7,500 pakej rawatan IVFKasih merangkumi kos perubatan dari permulaan rawatan IVF sehingga hari ujian kehamilan, kos makmal meliputi suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI), ‘Laser-Assisted Hatching’ dan kultur blastosis jika diperlukan.

Ini termasuk kos pembekuan embrio (yang selalunya lebih mahal), kejururawatan, operasi dan bilik pemulihan serta konsultansi doktor pakar.

IVFKasih menggunakan makmal di Sunfert@Bangsar South yang mempunyai kumpulan pakar kesuburan, kaunselor dan pakar embriologi yang terlatih, berkelayakan dan berdedikasi tinggi.

Program IVFKasih mengambil masa 12 hingga 16 hari termasuk empat lawatan klinik. Kadar kehamilan ialah 36 peratus bagi wanita yang mempunyai rizab ovari rendah (bilangan telur yang rendah di dalam ovari) dan melebihi 40 peratus untuk wanita yang mempunyai rizab normal.

Pasangan yang berminat menjalani rawatan boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.ivfkasih.com.

(Source: www.hmetro.com.my)